14 November 2012 - 18:10

Kerabat diraja Al Khalifah yang merupakan pendatang dari negara lain cuba usir rakyat Bahrain dari ibu pertiwinya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Berikutan kezaliman terkini pemerintahan Al Khalifah terhadap rakyat Bahrain yang melucutkan kerakyatan 31 orang warga tempatan dan mengeluarkan ancaman terhadap Ayatullah Isa Qasim, dengan ini Majma' Jahani Ahlul Bait mengeluarkan kenyataan pentingnya.

Kenyataan ini menyatakan kekesalan dan keanehan dengan beberapa tindakan tidak berlandaskan undang-undang yang terjadi sepanjang dua tahun yang lalu seperti pembunuhan, penyeksaan dan penculikan rakyat yang tidak berdosa. Oleh itu seluruh pencinta kebebasan, umat Islam sedunia (seperti ulama dan individu-individu pengikut Ahlul Bait) diminta membela hak asasi penduduk Bahrain dengan menyampaikan situasi terkini yang menimpa mereka.

Teks penuh kenyataan ini adalah seperti berikut:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


وَلاَ تَحْسَبَنَّ الله غافلا عَمَّا يَعْمَلُ الظالمون 


Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim - Surah Ibrahim, ayat 42

Hampir dua tahun Al Khalifah yang kejam melakukan aksi pembunuhan, pemusnahan, penyeksaan, penculikan rakyat Bahrain yang tidak berdosa dan tidak berdaya mempertahankan diri; jenayah keji ini sentiasa disertai bersama sokongan Al Saud dan diamnya masyarakat antarabangsa yang mengiringi perjuangan luar biasa dan mengagumkan rakyat Bahrain.

Malangnya dalam beberapa hari kebelakangan ini kita menyaksikan pentadbir negara Bahrain meneruskan jenayah-jenayah kejinya lagi dengan dua tindakan yang tidak berasaskan undang-undang, iaitu:

1. Memulakan gelombang ancaman baru terhadap para ulama, tokoh, doktor dan guru seperti Ayatullah Isa Qasim.

2. Melucutkan kewargenegaraan sejumlah besar penduduk negara ini, tanpa menuruti sebarang kriteria di peringkat antarabangsa dan undang-undang dunia.

Sebagai reaksi terhadap kedua-dua tindakan bahaya ini, Majma' Jahani Ahlul Bait selaku pertubuhan antarabangsa yang dianggotai ramai tokoh pemikir dan budaya daripada kalangan berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia dengan ini meminta masyarakat antarabangsa memberikan perhatian kepada perkara-perkara berikut:

1. Sebagaimana yang telah diingatkan berkali-kali sebelum ini, sejak awal revolusi, alim ulama Bahrain sampai ke hari ini sentiasa memainkan peranan dengan penuh budi bicara dan tenteram. Mereka berada di sisi panji-panji tuntutan hak asasi rakyat dengan menyeru para pemuda agar melakukan protes dalam keadaan aman. Dalam pada itu, memang tidak dinafikan terdapat pengaruh kepimpinan Syeikh Isa Qasim terhadap revolusi Bahrain yang tidak berasaskan keganasan. Namun pemerintah Al Khalifah membalas budi baik Ayatullah Isa Qasim dan tuntutan penduduk dengan menuturkan bahasa kasar untuk mengancam rakyat (termasuklah ulama).

2. Ayatullah Syeikh Isa Qasim seorang marji' besar, tokoh rohani dan berakhlak mulia. Beliau tidak hanya disenangi oleh masyarakat Syiah dan Sunni sahaja, bahkan beliau dihormati, dan mempunyai kredibiliti di kalangan umat Islam di luar negara ini sehingga dianggap salah seorang ulama dan pemikir Islam. Oleh itu kami memberi amaran keras kepada kerajaan Bahrain dan Arab Saudi dengan memaklumkan bahawa sebarang kebiadapan terhadap ulama besar ini adalah tanggung jawab raja, perdana menteri dan kabinet Bahrain, termasuk juga kerajaan Arab Saudi.

3. Perlucutan kewarganegaraan penduduk Bahrain yang dilakukan oleh Al Khalifah merupakan tindakan yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan undang-undang serta adat resam. Pemerintah bukanlah pemilik penuh jiwa warganya sehingga dapat menafikan kerakyatan dan mengusir mereka. Oleh itu tindakan ini, disamping memberikan status penduduk tetap kepada ratusan orang asing ke negaranya merupakan perseteruan secara terang-terangan terhadap rakyat Bahrain dan penafian hak-hak kewarganegaraan mereka.

4. Jika diketepikan undang-undang resam antarabangsa sekalipun, kerajaan dan pemerintah mana-mana negara tetap diibaratkan seperti seorang ayah dalam sebuah keluarga. Mungkinkan seorang ayah menghalau anaknya keluar dari rumah? Kerabat Al Khalifah selaku pendatang baru dari tempat lain yang berteduh di negara ini kemudian menakluki penduduknya dengan paksaan, bolehkah mereka menghalang anak watan Bahrain dari menjadi warga di tanah air nenek moyang sendiri?

5. Mengapakah negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang mengaku kononnya pembela kebebasan atau hak asasi manusia seperti PBB, Pemerhati Tahanan dan institusi seperti ini membisu seribu bahasa ketika memerhatikan pemerintah Bahrain melakukan kezaliman, kekejaman dan mengenepikan undang-undang? Apakah hingga kini penduduk dunia masih belum mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan tindakan tidak bermoral? atau bangun berdiri bersama-sama rakyatnya yang dizalimi?

6. Majma' Jahani Ahlul Bait sebelum ini sudah beberapa kali memaklumkan sokongannya terhadap perdamaian, persahabatan, keadilan dan kehidupan bersama yang aman di kalangan penduduk dunia (tidak kira warna kulit, bangsa, agama dan mazhab). Demikian itu sekali lagi menyeru kerabat diraja Bahrain melaksanakan pemerintahan dengan keadilan, keinsafan dan memenuhi hak rakyat negara ini. Majma' juga memaklumkan sokongan padunya kepada Ayatullah Isa Qasim, tahanan-tahanan yang masih di penjara, ulama, doktor, guru dan semua rakyat yang ditindas termasuklah mereka yang diusir dan dilucutkan kerakyatan.

Akhir kata, Majma' Jahani Ahlul Bait meminta seluruh penuntut kebebasan dan umat Islam di seluruh dunia (termasuk ulama dan para pengikut Ahlul Bait) memaklumkan situasi dan melangsungkan majlis untuk membela hak-hak asasi penduduk Bahrain sambil menyatakan kebencian terhadap penghinaan dan sekatan terhadap ulama Bahrain, serta pelanggaran syariat di negara ini.

Majma' Jahani Ahlul Bait
13/11/2012